Friday, August 21, 2009

Kampar (Perak)




Kampar, Perak


Pekan Kampar, Perak



Mengikut Sir George Maxwell, Kampar telah dibuka pada tahun 1886. Pembukaannya memang ada bersangkut paut dengan penemuan sebuah kawasan yang kaya dengan bijih timah dalam kawasan Kampar, di mana seorang tokoh telah memainkan peranan yang penting di dalam pembangunan Kampar iaitu Imam Prang Jabor.

Imam Prang Jabor yang berasal dari Sumatera Tengah telah membawa sejumlah pengikut untuk menetap di sekitar Gopeng dan Kuala Dipang. Sebagai seorang yang mempunyai idea yang praktik, petempatan dan pembangunan sesuatu tempat, beliau sering mendesak En. JBM Leech, salah seorang pegawai daerah yang terbaik di Malaysia untuk membuka negeri. Sementara itu, lombong-lombong Kuala Dipang dan Gopeng pada masa itu sedang mencari bijih timah di sekitar kawasan sepanjang Sungai Kampar. Pasa suatu hari, beliau telah menunggang kudanya untuk ke Batu Gajah untuk berjumpa Mr. Leech mengenai satu maklumat penting yang telah beliau perolehi. Beliau memberitahu Pegawai Daerah Kinta itu bahawa bijih timah telah dijumpai berdekatan Mambang Di Awan di atas jalan yang sedang dibina dari Kuala Dipang ke Tapah.

Kalau kita lihat nama pekan Kampar itu sendiri mempunyai persamaan nama dengan Bandar Kampar di Sumatera, Indonesia. Ini diakui oleh para sejarahwan kita bahawa nama pekan ini adalah diambil sempena nama Kampar yang ada di Sumatera, Indonesia. Wujudnya perkaitan di antara kedua-dua nama ini adalah melalui perniagaan yang dijalankan oleh kedua-dua penduduk bagi dua pekan ini, perniagaan mereka yang paling utama ialah penjualan tembakau dan alat-alat tembikar sara tembaga.

Kedatangan orang Kampar (Indonesia) yang paling ramai sekali datang ke sini ialah pada 1880-1900. Mereka datang melalui beberapa batang Sungai Kuala Dipang, Sungai Kampar, Sungai Kinta dan lain-lain lagi. Mereka menggunakan jong iaitu sebuah sampan besar yang diperbuat daripada kayu keras dan diukir menyerupai itik. Tempat persinggahan mereka adalah di tebing-tebing sungai. Maka, wujudlah beberapa buah Kampung Jeram di tebing Sungai Keboi.
Selian itu, ada juga yang masuk melalui Teluk Intan dan mudik ke Sungai Perak hingga ke Sungai Perak hingga ke Kuala Kampar di mana Kuala Kampar inilah wujudnya pekan Malim Nawar yang masih ada hingga kini. Mereka datang adalah untuk berniaga. Dari Kuala Kampar mereka singgah ke beberapa buah kampung untuk menjual barang-barang mereka kepada penduduk tempatan.

Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan hingga ke Kuala Keboi. Perniagaan mereka di sini bertambah maju kerana terdapat kerabat di raja dan Sultan tinggal di Kuala Keboi. Di daerah inilah juga lahirnya Sultan Alang Iskandar dan Panglima Megat Teramis (tokoh Negeri Perak).
Setelah habis barang-barang perniagaan mereka dijual di tempat tersebut, mereka pun meneruskan perjalanan ke batang Tonggang dengan berjalan kaki. Di sini jugalah bermulanya Bandar Kampar yang ada hingga kini. Di Batang Tonggang (sekarang Kampar) inilah orang-orang Kampar itu (dari Indonesia) mendirikan kedai sederet atap.
Penduduk dari kampung berhampiran dengan Batang Tonggang seperti kampung Sultan (sekarang Jalan Baru) membawa hasil-hasil pertanian mereka ke Batang Tonggang untuk dijual kepada orang Kampar (Indonesia) ini.

Tahun demi tahun, kedai sederet atap orang Kampar ini bertambah maju. Setelah perniagaan mereka maju, akhirnya mereka membuat keputusan untuk menetap di sini kerana jarak antara Kampar (Perak) dengan Kampar (Indonesia) adalah jauh. Ini menyukarkan mereka berulang-alik. Selain itu, terdapat bencana di lautan seperti ombak yang besar dan lanun-lanun yang pada masa itu bermaharajalela. Ada setengah-setengah orang Kampar ini berkahwin dengan penduduk tempatan dan terus bermastautin di sini.

No comments:

Post a Comment