Wednesday, August 19, 2009

Misteri Tasik pauh Janggi..?

Posting ini saya terbaca pada satu laman blog dan saya postkan disini kerana saya amat tertarik tentang kisah tasik pauh janggi.. lokasi dan kisah nya misteri.

Kembalilah diri ke dunia panggung dan dunia kelir. Merenung masa lalu dan melihat masa depan. Dari ‘pusat tasik pauh janggi’ tempat berpusar lagi jauh ke tengah segara. Tasiknya bukan di daratan bandar, tetapi pusar yang paling tengah dan paling dalam. Siapa terjatuh atau tergelincir, tersuruplah ia ke dalam pusar. Tempat menanti segala mara bahaya. Tempat duduk menantinya Nenek Sepit Pentala Naga di Laut Buih Gelombang Tujuh. Kalau si lemah yang sampai, maka hilang ghaiblah ia di mulut Raja Naga yang maha bisa. Tetapi kalau si kebal malim megah malim perkasa, dia berdiri di atas singa juang siap siaga. Tiada seurat bulu roma celakanya hangus terbakar, tiada seurat rambut hitam lebatnya gugur bertabur.

Dalam Makyung dan dalam Wayang Kulit Kelantan ada kaitan dengan Nenek Sepit Petala Naga. Dalam Makyung Endeng Tajali umpamanya apabila Raja Besar meninggal, maka Raja negeri dipangku oleh anaknya Raja Sulung. Namun Raja Tengah dan Raja Bongsu berasakan diri mereka juga berhak menjadi raja. Mereka tiga beradik pun berhuda tenaga (bertarung) untuk mendapatkan hak. Raja Sulung menang dan menjadi Raja, manakala yang kalah lari membawa diri ke hutan alas yang muda, dan ke laut buih gelombang tujuh. Raja Tengah bertukar menjadi Nenek Sepit Pentala Naga dan Raja Bongsu menjadi Jin Gergasi yang menghuru-harakan negeri. Munculnya Endeng Tajali yang bertahun-tahun dipasung di bawah jagaan Nenek Kebayan menyelesaikan cerita dan sengketa. Raja Sulung hilang ghaib, lalu Endeng Tajali pun ditabalkan menjadi Raja Besar Sang Nyanyor.

Berbeza dengan versi Nenek Sepit Pentala Naga dalam Wayang Kulit Kelantan. Nenek Sepit Pentala Naga adalah Raja di Negeri Lautan Buih yang mempunyai keseorang tuan puteri yang cantik jelita, yang dinamakan Tuan Puteri Ikan Selar Banum. Dalam cerita Wayang Kulit Kelantan, Nenek Sepit Pentala Naga ini menjadi besan kepada Seri Rama apabila Hanuman Kera Putih berkahwin dengan Tuan Puteri Ikan Selar Banum dan memperolehi seorang anak yang bernama Hanuman Ikan.

Apabila saya mengambil petikan latar dari panggung dan kelir, tentunya akan ada pertanyaan, apakah kaitannya Siti Zainon Ismail, sang penyair dan pelukis dengan Makyung dan Wayang Kulit? Kaitan dan silang pertindihannya amat banyak. Pameran ini sendiri adalah merujuk kepada dua genre teater tradisi tersebut. Kembara masa kecil Siti Zainon dari Kampung Paya menaiki keretapi, dan singgah mengaji Quran, bersimpuh di depan rehal Tuan Guru Haji Mohamed, ayahndanya almarhum Ustaz Abdullah Nakula antara Dusun Muda dan Makam Langgar. Wayang Kulit pun bertabuh dan gesekan rebab pun berbisik. Fizik dan geografi kedua tempat itu pun telah berubah dan terus berubah. Kampung Paya menjadi Bandar Dalam, dan Langgar juga kehilangan dusun ditumbuhi hotel dan supermarket.

Dan Siti Zainon pun merintih dalam puisi dan lukisannya. Dalam puisinya “Senja di Pelabuhan” (Puisi Putih Sang Kekasih, 1984: 40) Siti Zainon menulis:

akulah bidadari laut
mengurai rambut basah lembut
sambil
menjalin bicara senja
kaukah
melengkap sabda senja
kaukah
melengkungi sutera jingga
yang tak tergapai itu
adalah keinginan
rahsia sutera termahal
berhimpun
seperti muatan kapal yang tak pernah sarat
sedang pelabuhan kehilangan kelasi.

Pastinya ‘bidadari laut’ itu akan segera mengingatkan saya kepada Tuan Puteri Ikan Selar Banum, puterinya Nenek Sepit Pentala Naga yang ditinggalkan Hanuman di Laut Tujuh Gelombang Buih, Pusat Tasik Pauh Janggi. Tetapi Sang Hanuman sebagaimana di dalam cerita wayang adalah lelaki gagah perkasa yang selalu keluar bertarung dari satu negeri ke negeri yang lain. Kemudian bertapa dari satu gunung ke satu gunung sehinggalah di kaki-kaki awan di Nenggora Kekayangan. Anak-anaknya dibiarkan membesar di bawah jagaan ibu mereka masing-masing. Kelak setelah dewasa anak-anak itulah yang keluar mencari bapanya Sang Hanuman. Dan pertemuan seorang anak dengan bapa kebiasaannya bukan di dalam keadaan penuh kasih mesra, kerana akan berlaku peperangan dan pertarungan demi pertarungan. Apabila masing-masing tiada yang kalah, maka keduanya akan meriwayatkan keturunan mereka. Ketika itulah diketahui bahawa mereka adalah anak dan bapa. Dan sudah pastilah dalam wayang, “bidadari laut” selamanya akan menjadi isteri yang setia, membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.

1 comment:

  1. Menarik cetusan yg dipaparkan. Agaknya apakah blog asal dan siapa penulis asal. Itu harus dinyatakan. Saya juga pernah menulis esei Di Pauh Janggi untuk pameran Siti Zainon. Saya juga sebagai pengarang cerita Tanah Serendah Sekebun Bunga(teater fizikal) menceritakan ttg sebuah tasik, Chini dan kerajaan lama yang tenggelam.

    ReplyDelete